KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga asing, dipercayai mangsa bunuh, ditemui dalam beg pakaian di sebuah hotel murah di Jalan Raja Laut, di sini malam tadi.
Pengurus hotel berkenaan menemui beg pakaian itu ditinggalkan di hadapan bilik disewa seorang lelaki warga asing pada 11.30 malam.
Curiga dengan penemuan itu, beliau memeriksa beg berkenaan dan terkejut apabila mendapati ia berisi mayat seorang wanita lalu menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti identiti mangsa. Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan mangsa warga asing berdasarkan warna kulitnya,” katanya.
Katanya, kejadian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, hasil pemeriksaan forensik menemui kesan jerut pada leher mangsa, selain kesan luka di belakang kepalanya dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.
Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an dan bukan warga tempatan berikutan tiada kesan suntikan BCG ditemui pada lengannya.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.
“Siasatan sedang dijalankan sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian atau dibunuh di lokasi lain sebelum ditemui di tempat mayat ditinggalkan,” katanya.
Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


{ 0 comments… add one now }